Isnin, 24 Oktober 2011

Tak sempat bersedih






ORANGNYA sederhana dengan susuk tubuh kurus melidi. Tuturnya juga tidak lantang. Begitulah gambaran Shah Indrawan Ismail atau popular dengan sapaan Tomok.
Mula mencipta nama menerusi kumpulan New Boyz lebih sedekad lalu hingga menjadi kegilaan remaja ketika itu, kemudian diangkat sebagai juara program realiti TV, One In A Million 2 (OIAM2), kini Tomok terus merencana perjalanan seninya agar tidak hanyut.
   
  • FotoBUAH HATI...isterinya, Siti Rahayu Abas menjadi penyokong nombor satu di belakang.
  • FotoBUAH HATI...isterinya, Siti Rahayu Abas menjadi penyokong nombor satu di belakang.
  • FotoSYUKUR...rezeki Tomok makin mencurah sejak berkahwin.
Ternyata anak muda berusia 27 tahun ini sudah jauh lebih matang dengan status dirinya sudah menjadi suami selepas berkahwin dengan Siti Rahayu Abas pada 1 Julai lalu.

Bertemu dengannya pada petang Khamis lalu, Tomok hadir seorang diri namun sudah bersedia berkongsi seribu satu perkembangan terbaru. Belum sempat topik kerjayanya disingkap, persoalan mengenai kehidupan peribadinya pula menjadi pembuka cerita.


Sepanjang mengenali anak kelahiran Kuala Lumpur yang tidak lekang memberikan senyuman ini, Tomok masih remaja yang punya personaliti ceria.

“Saya rasa semuanya terurus dan lengkap. Meskipun berkahwin pada usia muda, saya tidak langsung rasa rugi atau terpaksa melupakan zaman berseronok terlalu awal kerana ikatan perkahwinan ini terlalu indah dan melangkaui imaginasi saya sendiri.

“Setiap hari selepas bergelar suami, saya berasa berbeza dan lebih bermakna berbanding ketika zaman bujang. Mujur isteri begitu memahami dan tidak henti-henti memberi sokongan kepada saya baik dalam soal peribadi mahupun kerjaya.

“Tidak sekadar isteri yang menjaga hal ehwal keluarga dan makan pakai saya, malah isteri juga saya umpamakan seperti sahabat karib yang menjadi tempat saya meluahkan apa saja.

“Jika memikirkan soal peminat akan lari dan berkurangan kerana sudah berkahwin, ia hanya satu stigma dan saya tidak percaya sekelumit pun mengenainya.

“Peminat saya hari ini ialah mereka yang mengikuti perkembangan saya sejak dulu. Mereka matang dan membesar bersama saya dan saya yakin mereka akan kekal bersama saya walaupun kini sudah menjadi suami,” katanya.

Kerjaya seni Tomok kini menyerlah. Bukan sekadar tampil dengan album solo, Tomok menampilkan 12 lagu termasuk Berlari, Bagai Bidadari, Kisah Kita dan Merentas Masa, anak keempat daripada enam beradik ini bakal mengecapi kegemilangan dalam seni lakonan pula.

Tomok yang baru pulang dari Istanbul, Turki bagi menjalani penggambaran filem terbarunya, Istanbul Aku Datang, menganggap semuanya sudah tertulis buatnya.

Katanya, kerjaya bertambah baik dan rezeki juga datang mencurah-curah berkat semangat dan rezeki mendirikan masjid.

Paling menjadi fokusnya sekarang dan mengundang seribu satu perasaan bimbang apabila filem sulung lakonannya, Mantera yang bakal menjengah pawagam, tahun depan.

“Ini adalah satu lagi pencapaian peribadi saya sebagai anak seni apabila berpeluang menerajui watak utama bagi filem hebat seperti Mantera. Mana tidaknya, ia adalah percubaan pertama saya dan filem ini adalah sebuah karya yang begitu tinggi kos pembikinannya, selain menjalani penggambaran di luar negara termasuk Russia.

“Kononnya filem ini menceritakan perihal pelajar robotik yang berdepan dengan satu kejadian yang pelik hingga menarik dirinya sekali terjerumus dalam satu senario yang sungguh luar biasa.

“Bayangkan, karya anak tempatan sendiri sudah mampu menggarap sebuah plot cerita berteknologi tinggi dengan kecanggihan pembikinan yang berkualiti.

“Sejak awal lagi ketika meneliti skripnya, saya sudah tertarik dan berharap agar terpilih bagi memegang watak Azman. Maklumlah ia sebuah filem yang punya ‘jiwa’ seakan-akan Iron Man dan Transformers yang sememangnya menjadi kegemaran saya.

“Kemudian disulam pula dengan elemen drama dan mainan emosi yang sempurna dan mampu mengikat perhatian penonton. Apabila melihat hasilnya, saya sendiri bangga dan tidak sabar untuk ditayangkan kepada peminat,” katanya.

Memegang watak Azman dalam filem bergenre drama dan aksi teknologi tinggi ini, Mantera mengisahkan perjalanan seorang pemuda bersama gadis yang akhirnya menambat hatinya, Dina lakonan Shikin Kamal yang berkongsi minat sama iaitu lapangan robotik dan pemasangan peralatan robot.

Mereka berdua berjaya membina motosikal berkuasa tinggi yang asasnya adalah peralatan canggih robotik. Entah di mana silapnya, Azman terikat dengan kuasa hebat ciptaannya sendiri hingga menyebabkan jasadnya bertukar menjadi robot.

Mantera yang diterbitkan FlareStudio mengisahkan pergolakan dua kumpulan rahsia yang menguasai dunia dari sebalik tabir iaitu Alliance of Light dan Dark Legions.

Dark Legions melalui syarikat Weston Tech membangunkan senjata rahsia, Mantera iaitu singkatan ‘Man Transformable Exo-Robotic Armor’ yang juga sistem motosikal dan sarung tangan nano dan boleh berubah menjadi baju perisai robotik.

Bagaimanapun, ketua pereka Mantera iaitu Dr Natasha yang menyedari niat jahat ketuanya cuba untuk mensabotaj dan memusnahkan sistem Mantera itu.

Dia menghilangkan diri bersama kertas kerja Mantera. Namun sisa dan cebisan Mantera secara tidak sengaja dihantar kepada pelajar IT di Malaysia iaitu Azman lakonan Tomok lalu bermulalah era ‘superpower’ Azman.

Satu lagi rezeki baru Tomok ialah dipilih menjadi ikon kempen syarikat minuman antarabangsa, Coke.

Katanya, selain menjadi jurucakap, Tomok juga berpeluang berduet bersama kumpulan popular dari Britain yang juga terbabit dalam kempen sama iaitu One Night Only.

Setakat ini, Coke menyediakan beberapa perancangan buat saya termasuk merakamkan lagu dan klip video di London, pertengahan bulan ini serta bersedia untuk mengadakan konsert besar pada Disember nanti.



PROFIL:

Nama penuh: Shah Indrawan Ismail
Tarikh lahir: 17 Mei 1984
Umur: 27 tahun
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak keempat daripada enam beradik
Status: Suami kepada Siti Rahayu Abas
Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan jurucakap produk

Album bersama New Boyz: Sejarah Mungkin Berulang (1999), Akur (2000), Wirama (2001), Inspirasi (2003), The Best Of New Boyz (2004), Bermula Satu Evolusi (2005) dan Semula Padaku (2007)

Album solo: Tomok (2011)
Drama VCD: Pulau Inspirasi, Meraung
Filem: Istanbul Aku Datang, Mantera
Jurucakap produk: Coke
Pencapaian: Juara One in a Million 2 (OIAM2)

Tiada Aura?




Hip

Tiada aura?
Oleh Nor Hatina Shuib
hatina@bharian.com
2011/10/24

  
  • Foto
    ANTARA pelakon yang mewarnai filem Malaysia sekarang.
  • Foto
    ANTARA lagenda filem Melayu, dari kiri atas, Latifah Omar dan Nordin Ahmad, Saadiah, Ahmad Daud dan Mariam, Seniwati Zaiton, Seniwati Ummi Kalthom dan Rosnani.
Rupa, bakat saja belum cukup

HAKIKATNYA memang mereka cantik. Kecantikan bintang filem masa kini seperti Erra Fazira, Ziana Zain, Lisa Surihani, Nur Fazura, Fasha Sandha sehinggalah kepada Diana Danielle, memang menjadi sebutan dan sesiapa pun akan menoleh ke arah wanita ini.
Tidak hairanlah mereka yang berwajah jelita ini sering diberikan peranan utama, dalam filem mahupun drama dan teater. Kecantikan mereka dianggap daya penarik untuk orang datang menonton di panggung wayang atau pentas teater. Berderet filem dan drama yang dibintangi sehingga sesetengahnya diangkat seperti primadona.
Aura seseorang pelakon itu lahir secara semula jadi, tidak boleh dipaksa dan jarang dimiliki. - Erma Fatima, Pengarah dan pelakon.

Primadona? Layakkah mereka digelar sedemikian, setaraf seperti Allahyarham Saadiah, Normadiah, Siput Sarawak, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Maria Menado atau sekurang-kurangnya Azean Irdawaty, Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatimah dan Sofia Jane?

Walaupun kekurangan dari segi teknikal dan kecanggihan peralatan perfileman, tetapi bakat pelakon yang muncul dalam filem hitam putih tidak dapat dipertikaikan meninggalkan kesan kepada peminatnya hingga hari ini.

Antara contoh terbaik ialah lakonan Saadiah tatkala memegang watak Azizah dalam filem Penarik Beca, Dara (Semerah Padi), Engku Zaleha (Antara Dua Darjat) dan Nora Zain (Nora Zain - Ajen 001) dan Melor, yang sanggup berkorban demi kekasihnya, Tuah (Hang Tuah) dan wanita pintar (Musang Berjanggut), dikenang dan pernah mengusik jiwa peminat untuk mempercayai wujud watak sedemikian rupa.
Penonton bukan saja ingat nama Saadiah, tetapi juga tidak lupa dengan watak dan karakter dalam filem yang dibintanginya.
Namun hari ini, dalam filem yang berwarna sepenuhnya, biarpun sudah membintangi banyak filem tetapi lakonan daripada kebanyakan pelakon kurang memberi impak kepada penonton. Penonton ke panggung seolah-olah untuk melihat kecantikan pelakon dan selepas itu mereka tidak pernah cuba mengingati watak dan kesan lakonan Erra, Lisa, Fasha atau Diana.

Jurulatih lakonan yang juga aktivis teater, Fatimah Abu Bakar berpendapat, lakonan daripada pelakon wanita hari ini yang tidak memberikan impak kepada penonton kerana tiadanya sistem latihan intensif sebelum ke lokasi penggambaran, yang sepatutnya dijadikan amalan dalam industri perfileman.

"Pengarah dan produser perlu menggunakan bahan yang ada sebaik mungkin. Jika seseorang pelakon itu sudah ada pakej seperti bakat dan kecantikan, latihan sebelum menjalani penggambaran perlu dilakukan juga walaupun pelakon itu sudah biasa berlakon.

"Ibarat masakan, garam sudah ada gula sudah ada, rempah ratus sudah cukup tetapi jika tidak dimasak dengan baik, ia menjadi tidak sedap. Begitu juga pelakon. Jika sudah ada populariti, sudah ada peminat tetapi tidak menjalani latihan lakonan, maka idea yang ada pada watak yang ditangani itu terhad," katanya.

Fatimah juga tidak menafikan, walaupun ada ramai pelakon cantik ketika ini, tetapi kebanyakannya tidak mempunyai aura dan karisma yang kuat untuk bertakhta kukuh di hati penonton atau peminat.

Katanya, dia sendiri akur dengan kenyataan ada pelakon yang popular berlakon filem tetapi penonton hanya mengingati kecantikan pelakon itu berbanding bakat lakonan mereka.

"Saya tak nafikan ada pelakon yang kerap membintangi filem, tetapi kita tidak mahu sebaik saja keluar daripada pawagam, peminat lebih mengingati nama pelakon itu berbanding watak yang ditanganinya.

"Sebaik-baiknya, biar seseorang pelakon itu tidak diingati namanya dan jika boleh kita hanya mahu watak yang dibawa menjadi kesukaan atau kebencian penonton sebaik saja filem itu tamat ditayangkan," katanya yang mengakui banyak pihak yang sudah lupa asas sebuah lakonan adalah bakat dan bukan kecantikan serta populariti.

Namun begitu, Fatimah tidak menafikan pengarah mahupun penerbit juga memainkan peranan penting dalam membentuk watak dan perwatakan seseorang pelakon sehingga memberikan kesan mendalam kepada penonton.

"Jika dikatakan populariti Lisa Surihani mengatasi bakatnya, dia tidak boleh dipersalahkan. Walaupun berbakat dalam lakonan, sepatutnya pengarah dan produser bertanggungjawab membentuk dirinya kerana tidak semua pelakon itu sempurna.

"Seperti yang saya beritahu, latihan mampu memantapkan lakonan," katanya yang melihat latihan sebelum penggambaran tidak dilakukan mungkin disebabkan kos yang meningkat.

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang, Mamat Khalid, bersetuju aura yang ada pada seseorang pelakon membantu dalam mengembangkan bakat dan menjadi daya tarikan kepada peminat.

“Bagi memberikan impak dan mencetuskan fenomena di kalangan peminat, aura ialah perkara ajaib yang perlu ada dalam diri pelakon. Aura ini bukanlah sesuatu yang boleh dicari, tetapi datang sendiri serta tidak semua mampu memilikinya,” katanya.

Pengarah dan pelakon berpengalaman, Erma Fatima juga tidak menyangkal sebahagian daripada angkatan muda yang mewarnai dunia perfileman lahir dengan bakat sebagai pelakon, tetapi mereka tidak mempunyai aura.

“Saya rasa pelakon muda kita terlampau ramai. Mereka berbakat besar dan menunjukkan kesungguhan untuk berlakon. Tetapi mereka tiada aura atau tuah. Aura seseorang pelakon itu lahir secara semula jadi, tidak boleh dipaksa dan jarang dimiliki,” katanya yang memberitahu aura sebagai pelakon juga mampu menyerlahkan karisma seorang pelakon.

Membariskan Eman Manan, Fauziah Ahmad Daud, selain Sarimah serta Saadiah menjadi contoh, Erma berkata, sebagai pelakon seseorang itu bukan saja berbakat, malah harus memiliki aura yang dilihat sudah membuka ruang kepada lakonan yang hebat.

“Rupa, bakat dan kesungguhan saja tidak cukup. Seperti Eman, dari segi rupa, dia sederhana saja tetapi lakonan dan aura Eman menyerlahkan karisma dirinya,” katanya sambil memberitahu Remy Ishak dan Tiz Zaqiyah antara pelakon yang memiliki aura.

Tiada Pilih Kasih


Hip

Tiada pilih kasih
Oleh Hanisah Selamat
nisa@bharian.com.my
2011/10/24

KARYAWAN giat susun agenda bantu mereka yang memerlukan

PERSATUAN Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menolak persepsi segelintir pihak yang beranggapan hanya artis veteran mendapat kelebihan apabila menyertai persatuan itu, sedangkan hakikatnya ia adalah untuk semua anak seni.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, berkata pihaknya mahu mengubah tanggapan salah yang mengatakan KARYAWAN cuma mementingkan seniwati dan seniman veteran sedangkan tiada pilih kasih mahu pun berat sebelah dalam persatuan berkenaan.
“KARYAWAN terbuka untuk sesiapa saja selagi mana mereka berkecimpung dalam industri seni. Mungkin selama ini orang luar mengetahui mengenai pemberian skim pencen selain aktiviti mengumpulkan dana membantu artis yang memerlukan.

“Sebenarnya banyak lagi program dijalankan untuk golongan KARYAWAN muda kerana kebajikan hanya satu daripada cabang biro, malah kita punya biro artis muda yang sebelum ini diterajui Dayang Nurfaizah dan kini diketuai Atilia.

“Barisan anak muda ini tetap menggerakkan program seperti dirancang, cuma mungkin kurang dihebahkan menerusi media. Bahkan setiap biro saling bekerja sama melicinkan agenda,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Seribu Bintang, di Bukit Kiara, kelmarin.

Majlis makan malam di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC) yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (Pbank) itu juga antara usaha mengumpul dana membantu mengisi Tabung Penggiat Seni KARYAWAN.
Malah sebahagian kutipan juga turut disalurkan kepada mangsa bencana yang berlaku di Kedah, membabitkan daerah Padang Terap, Baling, Kuala Muda, Kota Setar dan Pendang.

Idea yang dicetuskan Naib Yang Dipertua 1 Pbank, Toh Puan Bendahara Kedah, Toh Puan Noor Suzanna Abdullah itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila hampir 30 meja bernilai antara RM3,000 hingga RM50,000 habis dijual.

Antara matlamat asalnya adalah untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan, terutama yang sakit dan uzur, apatah lagi skim pencen yang diberikan selama enam tahun terpaksa diberhentikan disebabkan akibat kekurangan dana.

“Memang kita dahulukan yang sakit dan buat masa ini yang kita maklum uzur ialah Datuk Yahya Sulong, Karim Latif dan Latifah Omar. Kita bertuah kerana kerajaan turut mementingkan kebajikan artis dengan menubuhkan Tahun Kebajikan Penggiat Seni, namun ia hanya boleh disalurkan sekali untuk setiap pemohon.

“Bagi yang memerlukan rawatan susulan, sebagai contohnya Yahya Sulong, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk ubat-ubatan. Sekurang-kurangnya, bantuan ini meringankan beban keluarganya.

“Tidak kira sesiapa pun tahap usianya, KARYAWAN akan tetap membantu ahli yang memerlukan. Selain majlis malam malam ini, kita turut menganjurkan boling amal minggu lalu disusuli golf amal dalam tempoh terdekat bagi menambahkan dana,” katanya lagi.

Artis muda beri sokongan

MENGENAI skim pencen yang terpaksa diberhentikan, akui Freddie, sebelum ini ada pihak yang menyalurkan dana secara kontrak selama setahun hingga dua tahun yang membolehkan persatuan itu menyalurkan pencen berjumlah RM1 juta sepanjang tempoh enam tahun.

Namun disebabkan keadaan ekonomi tidak menentu, pihak berkaitan tidak lagi meneruskan sumbangan mereka, namun KARYAWAN tidak berpeluk tubuh sebaliknya melaksanakan beberapa program untuk mendapatkan sumber kewangan.

“Kita cukup berterima kasih kepada pihak yang menyokong usaha pemberian pencen banyak kepada veteran namun memahami dalam situasi ekonomi semasa banyak perkara perlu diambil kira.

“Selagi termampu KARYAWAN akan berusaha melaksanakan apa juga aktiviti yang membawa manfaat kepada seluruh ahli dan ia tidak mungkin dapat direalisasikan dengan sokongan semua termasuk anggota persatuan ini serta insan sekeliling,” ulasnya.

Antara artis menjayakan acara malam itu ialah Natasha Hudson, Neelofa, Nur Fathia, Dynas Mokhtar, Julia Ziegler, selain beberapa model yang menyumbangkan khidmat memperagakan busana eksklusif rekaan Albert King dan Mouawad.

Majlis terus diserikan dendangan malar segar Aishah, Syurga Di Bawah Tapak Kaki Ibu dan Janji Manis Mu yang menggamit nostalgia lalu disusuli persembahan Ibnor Riza dan Datuk Julie Sudiro, malah Freddie yang juga bekas anggota Revolvers turut membuat kemunculan khas.

Bagi pelakon muda, Fathia, usaha KARYAWAN itu wajar disokong semua penggiat industri memandangkan matlamatnya adalah untuk menjaga kebajikan semua anggota dan secara tidak langsung merapatkan hubungan antara satu sama lain.

"Dalam kesibukan mencari rezeki, kita jangan lupa di luar sana masih ada yang memerlukan bantuan. Kita tidak tahu, mungkin sampai satu masa, kita pula memerlukan sokongan insan lain. Tanpa berbelah bagi saya terpanggil untuk menyumbangkan khidmat saya pada majlis ini," katanya yang berpeluang memperagakan barang kemas bernilai RM1.2 juta.

Jumaat, 21 Oktober 2011

Elfira dan Randy Bercinta?



HAMPIR setahun menantikan detik menyatukan Elfira Loy, 17, dan Randy Pangalila, 20, dalam satu sesi fotografi. Bulan demi bulan dan hari berganti minggu, kesempatan itu akhirnya menjadi kenyataan pada 5 Oktober lalu ketika penggambaran telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dijalankan. 

Sebelum ini sudah dipukul canang oleh syarikat Cube Film milik pengarah Michael Ang bahawa kedua-dua bakat muda bersinar itu akan disatukan dalam sebuah drama. Drama yang asalnya diberi judul Selagi Adanya Cinta dan kemudian berubah menjadi Dalam Hati Ada Taman dirancang penggambarannya Januari lalu.
Namun dek kesibukan jadual seni Randy di Indonesia dan komitmen pelajaran Elfira dengan pelajaran termasuk bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan, penggambaran drama itu dijangka diadakan pertengahan Disember ini. Randy kini adalah bintang remaja yang semakin meriah populariti di negaranya.
Lokasi penggambaran bukan lagi di Florence, Itali, sebaliknya Paris dan London menjadi pilihan terbaru menyaksikan ‘jodoh’ mereka disatukan buat kali kedua selepas telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang. 

Dengan izin Ang membenarkan masa dicuri dan kerjasama ibu Elfira, Filzah Yusoff mendapatkan tajaan busana label mewah Versace, B*POP satukan kedua-dua ‘pasangan kekasih’ itu di Jari Spa, Wangsa Walk, Wangsa Maju, ketika berlangsungnya sesi penggambaran telefilem itu. 

Biarpun baru bertemu Isnin lalu (3 Oktober), Elfira dan Randy pantas mencipta keserasian. Kedua-duanya juga ibarat sudah mula jatuh cinta pandang pertama terhadap bakat masing-masing. Ada ‘kimia’ yang terpancar di antara mereka sekali gus memberikan mood fotografi yang diingini. 

Akui Elfira, dia sendiri tidak menafikan keserasian antaranya dan Randy ketika berlakon terjadi secara semula jadi dan tidak mengambil masa panjang untuk ‘memanaskan’ situasi. Sikap Randy yang cukup merendah diri juga antara sebab Elfira begitu menyenangi peribadi dan kehadirannya. 
“Ingatkan dia sombong pada mulanya tapi ternyata dia sebenarnya seorang peramah. Seperti kami sudah lama kenal. Saya tak nafikan betapa selesa berlakon dengannya sekalipun kami dibatasi dengan jurang bahasa dan kali pertama berlakon sama. Adik saya sendiri bertanyakan tak berdebar ke berlakon dengannya. Lebih daripada itu adik saya mengusik tak jatuh hati ke pada dia. Apatah lagi saya memang menjadi pengikut setia drama lakonannya yang disiarkan tahun lalu iaitu Cinta Kirana dan terbaru, Nada Cinta yang disiarkan di Astro. 

“Pada mulanya memang saya akui terbit rasa berdebar juga melihatnya di set penggambaran. Tapi sikap profesional dan dirinya yang tak berlagak memudahkan kerjasama terjalin. Insya-Allah, tiada aral kami akan berlakon sama lagi untuk drama Dalam Hati Ada Taman hujung tahun ini,” kata Wajah Eksklusif Astro itu yang baru muncul dengan filem Jepun berjudul Second Chance. 

Elfira menambah lagi, hingga saat ini dia tidak menyangka usaha Ang dan Astro untuk mendapatkan Randy benar-benar menjadi kenyataan. Masih jelas lagi dalam ingatan Elfira apabila Ang berseloroh dengannya sambil bertanya suka atau tidak kalau dapat berlakon dengan Galang (nama watak Randy dalam Cinta Kirana). 

“Ketika itu saya menjalani penggambaran telefilem Kum-Kum pada bulan puasa tahun lalu. Waktu berehat, saya curi kesempatan menonton drama Cinta Kirana,” katanya yang memegang watak sebagai Alya dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang. 

Sekalipun sibuk berlakon, gadis genit ini tidak melupakan tanggung jawab sebagai pelajar. Baru saja selesai menghadapi peperiksaan percubaan SPM, pelakon yang mula dikenali dengan drama Qaleesya itu gigih membuat persiapan untuk menempuh peperiksaan SPM pada awal bulan depan. 

“Pendidikan tetap saya utamakan. Cuma kadang-kadang biasalah anak remaja macam saya timbul perasaan malas nak mengulang kaji pelajaran. Tapi saya lawan apa saja rasa negatif itu. Setiap malam akan ke kelas tuisyen di Setiawangsa termasuk terbabit dengan perbincangan berkumpulan bersama kawan,” katanya yang mengakui wujud banyak akuan palsu Facebook tetapi yang betul boleh dicari di bawah emel filzay@yahoo.com 

Dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, Randy memegang watak sebagai Andy, jejaka dari Indonesia yang datang ke Malaysia untuk mencari cintanya, Alya (Elfira). Mereka berkenalan menerusi laman Facebook. Turut berlakon ialah Ezzrin Loy, Hanez Suraya, Mahmud Ali Bashah, Sharifah Shakinah, Didie Alias dan Sharifah Shahora. 


Randy nafi gosip cinta dengan Donita BAGI Randy atau nama sebenarnya Randy Dionysius Pangalila, kunjungan ke Malaysia kali ini adalah ketiga buatnya. Kali pertama dua tahun lalu semasa terbabit dengan sesi penggambaran fesyen dan terbaru ketika berlangsungnya pertunjukan fesyen MASIF 2011. Randy sebenarnya sudah enam tahun bergelar anak seni. Selain berlakon, bekas atlit taekwondo mewakili Indonesia itu sebenarnya juga berbakat sebagai penyanyi dan diberi peluang bergelar model. Ikutkan sudah lama tawaran berlakon di Malaysia yang diterimanya sebelum Michael cuma faktor masa agak terbatas. “Dengan Michael pun saya sudah kenal dan tak salah mencuba nasib melebarkan sayap di Malaysia. Bagi saya berlakon di Malaysia disifatkan satu manifestasi mengutip pengalaman baru di samping meluaskan atmosfera seni. Pemilihan Elfira sebagai gandingan heroin juga satu peluang terbaik saya berkongsi ilmu apatah lagi dia memang seorang berbakat besar,” kata pemuda beragama Kristian itu. “Saya senang dan asyik sekali berlakon dengannya. Memang keserasian antara kami cepat wujud. Di Indonesia selalunya kalau digandingkan dengan bakat baru, keserasian itu lambat wujud dan sekali gus mewujudkan kesukaran. Tetapi berbeza sekali dengan Elfira, dia memudahkan kerja lakonan saya,” katanya yang berdarah kacukan Manado, Belanda dan Jawa. Diaju persoalan cinta lokasi yang pernah dikaitkan dengannya, Randy yang bakal ke set penggambaran drama aksi bergandingan dengan Luna Maya menjawabnya dengan tenang. Sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan Donita, gandingannya dalam drama Cinta Fitri. “Cinta lokasi seperti mana yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini memang tak pernah wujud. Media di Indonesia juga gemar membuat spekulasi sekali gus memberi promosi kepada drama yang disiarkan. Bayangkan ketika berlakon dalam Nada Cinta pun timbul cerita saya dikaitkan dengan heroinnya,” katanya yang boleh diikuti di laman Twitter di bawah nama @randpunk. Mengenai kisah peribadi, Randy tidak berselindung mengenai kenyataan dirinya yang sudah berpunya. Tetapi dia tidak selesa menceritakannya secara terbuka apatah lagi media di Indonesia terlalu ekstrim mengejar cerita peribadi berbanding soal kerjaya. “Saya lebih selesa mengejar cita-cita sebagai anak seni. Lakonan dan nyanyian sebenarnya datang seiring. Cuma saya boleh katakan keterujaan saya lebih kepada berlakon. Tawaran membikin album itu ada, cuma belum tiba masanya. Cukuplah saya tampil dengan single demi single dulu,” kata penyanyi lagu Lewat Semesta, I Need You (runut bunyi drama Nada Cinta) dan Tanpamu Ku Tak Bisa. 


  • INFO Elfira Loy NAMA PENUH: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri UMUR: 17 tahun TARIKH LAHIR: 8 Mac 1994 ASAL: Kuala Lumpur KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik DARAH CAMPURAN: Melayu, Cina dan Arab KOMERSIAL TV: Institut Jantung Negara (IJN), Honda Icon, Mee Sedap dan Chikades Randy Pangalila NAMA PENUH: Randy Dionysius Pangalila UMUR: 20 tahun TARIKH LAHIR: 19 Oktober 1990 DRAMA: Alisha, Gue Banget, Cinta Kirana, Cinta Melody, Nada Cinta, I Love You, Cinta Fitri, Cinta Piano FILEM: Oh Baby, Kutukan Suster Ngesot, Saya Cinta, Bajingan, Pasangan Romantis, Tiga Cinta.