HAMPIR setahun menantikan detik menyatukan Elfira Loy, 17, dan Randy Pangalila, 20, dalam satu sesi fotografi. Bulan demi bulan dan hari berganti minggu, kesempatan itu akhirnya menjadi kenyataan pada 5 Oktober lalu ketika penggambaran telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dijalankan.
Sebelum ini sudah dipukul canang oleh syarikat Cube Film milik pengarah Michael Ang bahawa kedua-dua bakat muda bersinar itu akan disatukan dalam sebuah drama. Drama yang asalnya diberi judul Selagi Adanya Cinta dan kemudian berubah menjadi Dalam Hati Ada Taman dirancang penggambarannya Januari lalu.
Namun dek kesibukan jadual seni Randy di Indonesia dan komitmen pelajaran Elfira dengan pelajaran termasuk bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan, penggambaran drama itu dijangka diadakan pertengahan Disember ini. Randy kini adalah bintang remaja yang semakin meriah populariti di negaranya.
Lokasi penggambaran bukan lagi di Florence, Itali, sebaliknya Paris dan London menjadi pilihan terbaru menyaksikan ‘jodoh’ mereka disatukan buat kali kedua selepas telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.
Dengan izin Ang membenarkan masa dicuri dan kerjasama ibu Elfira, Filzah Yusoff mendapatkan tajaan busana label mewah Versace, B*POP satukan kedua-dua ‘pasangan kekasih’ itu di Jari Spa, Wangsa Walk, Wangsa Maju, ketika berlangsungnya sesi penggambaran telefilem itu.
Biarpun baru bertemu Isnin lalu (3 Oktober), Elfira dan Randy pantas mencipta keserasian. Kedua-duanya juga ibarat sudah mula jatuh cinta pandang pertama terhadap bakat masing-masing. Ada ‘kimia’ yang terpancar di antara mereka sekali gus memberikan mood fotografi yang diingini.
Akui Elfira, dia sendiri tidak menafikan keserasian antaranya dan Randy ketika berlakon terjadi secara semula jadi dan tidak mengambil masa panjang untuk ‘memanaskan’ situasi. Sikap Randy yang cukup merendah diri juga antara sebab Elfira begitu menyenangi peribadi dan kehadirannya.
“Ingatkan dia sombong pada mulanya tapi ternyata dia sebenarnya seorang peramah. Seperti kami sudah lama kenal. Saya tak nafikan betapa selesa berlakon dengannya sekalipun kami dibatasi dengan jurang bahasa dan kali pertama berlakon sama. Adik saya sendiri bertanyakan tak berdebar ke berlakon dengannya. Lebih daripada itu adik saya mengusik tak jatuh hati ke pada dia. Apatah lagi saya memang menjadi pengikut setia drama lakonannya yang disiarkan tahun lalu iaitu Cinta Kirana dan terbaru, Nada Cinta yang disiarkan di Astro.
“Pada mulanya memang saya akui terbit rasa berdebar juga melihatnya di set penggambaran. Tapi sikap profesional dan dirinya yang tak berlagak memudahkan kerjasama terjalin. Insya-Allah, tiada aral kami akan berlakon sama lagi untuk drama Dalam Hati Ada Taman hujung tahun ini,” kata Wajah Eksklusif Astro itu yang baru muncul dengan filem Jepun berjudul Second Chance.
Elfira menambah lagi, hingga saat ini dia tidak menyangka usaha Ang dan Astro untuk mendapatkan Randy benar-benar menjadi kenyataan. Masih jelas lagi dalam ingatan Elfira apabila Ang berseloroh dengannya sambil bertanya suka atau tidak kalau dapat berlakon dengan Galang (nama watak Randy dalam Cinta Kirana).
“Ketika itu saya menjalani penggambaran telefilem Kum-Kum pada bulan puasa tahun lalu. Waktu berehat, saya curi kesempatan menonton drama Cinta Kirana,” katanya yang memegang watak sebagai Alya dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang.
Sekalipun sibuk berlakon, gadis genit ini tidak melupakan tanggung jawab sebagai pelajar. Baru saja selesai menghadapi peperiksaan percubaan SPM, pelakon yang mula dikenali dengan drama Qaleesya itu gigih membuat persiapan untuk menempuh peperiksaan SPM pada awal bulan depan.
“Pendidikan tetap saya utamakan. Cuma kadang-kadang biasalah anak remaja macam saya timbul perasaan malas nak mengulang kaji pelajaran. Tapi saya lawan apa saja rasa negatif itu. Setiap malam akan ke kelas tuisyen di Setiawangsa termasuk terbabit dengan perbincangan berkumpulan bersama kawan,” katanya yang mengakui wujud banyak akuan palsu Facebook tetapi yang betul boleh dicari di bawah emel filzay@yahoo.com
Dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, Randy memegang watak sebagai Andy, jejaka dari Indonesia yang datang ke Malaysia untuk mencari cintanya, Alya (Elfira). Mereka berkenalan menerusi laman Facebook. Turut berlakon ialah Ezzrin Loy, Hanez Suraya, Mahmud Ali Bashah, Sharifah Shakinah, Didie Alias dan Sharifah Shahora.
- INFO Elfira Loy NAMA PENUH: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri UMUR: 17 tahun TARIKH LAHIR: 8 Mac 1994 ASAL: Kuala Lumpur KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik DARAH CAMPURAN: Melayu, Cina dan Arab KOMERSIAL TV: Institut Jantung Negara (IJN), Honda Icon, Mee Sedap dan Chikades Randy Pangalila NAMA PENUH: Randy Dionysius Pangalila UMUR: 20 tahun TARIKH LAHIR: 19 Oktober 1990 DRAMA: Alisha, Gue Banget, Cinta Kirana, Cinta Melody, Nada Cinta, I Love You, Cinta Fitri, Cinta Piano FILEM: Oh Baby, Kutukan Suster Ngesot, Saya Cinta, Bajingan, Pasangan Romantis, Tiga Cinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan